Kekayaan Online
Ahad, November 25, 2007
Jiwa kacau - Hindraf
-Laporan Al-Jazeera-


Hari ini, ketika kami sekeluarga makan malam bersama-sama, abang ipar angkat aku sempat membuat lawak hinggakan aku terpinga-pinga sama ada mahu tertawa atau tidak. Katanya, orang Melayu sudah buat....begitu juga dengan Keling, orang Cina bila lagi? katanya merujuk kepada perhimpunan haram Hindraf semalam. Tatkala itu, aku berfikir sejenak apa mungkin akan ada lagi perhimpunan jalanan (dibuat oleh kaum Cina)yang pada akhirnya akan menjatuhkan imej negara di mata dunia?


Aku menghelah nafas besar sambil meneguk air teh untuk mententeramkan jiwa ku yang berkecamuk. Ah..kenapa aku terlalu memikirkan tentang perkara ini padahal aku bukan sesiapapun! Ini masalah mereka bukan aku. Tetapi aku ini anak Malaysia desis hati ku, aku tidak senang kalau orang asing mengatakan negara ku tidak aman, bergolak dan bermacam lagi fitnah dan tomahan yang dilemparkan mereka.

Kemudian aku teringat perhimpunan semalam, di hadapan mataku sendiri seorang lelaki dijulang di Jalan Yap kwan Seng, Kuala Lumpur oleh penyokong fanatik Hindraf sambil melaungkan, "...kita sudah berjaya dalam perhimpunan ini" disusuli oleh jeritan lebih seribu orang penyokong Hindraf sedangkan ketika itu, misi mereka untuk menghantar petisyen kepada kedutaan British belum tercapai.(petisyen hanya dihantar menggunakan mesin faksimili sejurus perhimpunan bersurai 2.30 petang semalam

Tetapi laungan "misi kita sudah tercapai" tetap bermain di benak ku! Apa sebenarnya maksud lelaki itu berkata demikian. Adakah misi sebenar mereka hanyalah untuk mengadakan perhimpunan jalanan `murahan' semata-mata atau memang benar tujuan mereka menuntut hak yang kononnya taraf hidup mereka berada di paras bawah kerana kesilapan British menjadikan mereka kuli-batak semasa zaman kolonial (sebelum era 1950) - hingga mendesak mereka menuntut ganti rugi berbilion ringgit.

Apa yang pasti, ketika perhimpunan itu kelihatan orang tua lelaki dan perempuan , remaja sebaya aku dan mereka yang benar-benar merasa tertindas seolah-olah seperti dangkal dan diperalatkan atau dengan erti kata yang sama maksud - dieksploitasi (nak bagi sedap bahasa) oleh pihak-pihak tertentu tanpa sedikit pun mereka merasa sedemikian. Bak kata `beliau' aku kalau kau dapat rasa apa yang aku rasa nescaya kau juga akan bertindak seperti apa yang aku lakukan sekarang? Mungkin itu bagi pendapat mereka yang benar-benar mahukan keadilan dan pembelaan! Bagaimana pula dengan mereka yang ada kepentingan tertentu? Ah..sulit untuk menjawabnya!

Bagi aku perhimpunan sebegini tidak perlu. Sekiranya mereka (Hindraf) benar-benar telus dan mahu pembelaan, MIC ada kenapa mereka tidak meminta bantuan. Malah, penaung badan komponen politik itu, Datuk Sammy Vellu ada menyatakan Hindraf sendiri tidak mahu berunding dengan MIC walaupun pernah ditawarkan sebelum ini. Jadi, apa maksud sebenar mereka mengadakan perhimpunan yang kini menjadi bualan dunia dengan laungan berulang kali "kita sudah berjaya dalam perhimpunan ini, misi kita tercapai".


Penyokong-penyokong Hindraf pula berulang kali melaungkan kami rakyat Malaysia, semua rakyat Malaysia tetapi apa yang mereka sumbangkan dalam perhimpunan sebegini??? Bagi belia yang masih tidak tahu erti sebenar perjuangan menggunakan landasan sebegini, kehadiran mereka semata-mata ialah untuk berseronok dan meramaikan perhimpunan (entah mereka datang dari mana). Ya, keseronokan seperti zaman kita di sekolah rendah dahulu, bersorak dan bergelak ketawa ketika berarak secara besar-besaran.

Natijahnya, lihat sahaja laporan yang dibuat media luar seperti al-Jazeera. Kemudian bagaimana rakyat negara ini berkongsi pendapat mengenainya. Semua berbincang mengenai pergolakan, menghina Malaysia dan paling teruk...ada yang sampai menggunakan sentimen perkauman kutuk-mengutuk. Pembangkang pula menjadi `batu api' hingga ada yang membuat tawaran dan publisiti murahan supaya masuk ke parti mereka. Kalaulah kita ini bersatu, negara kita pasti maju!

posted by . @ 8:53 AM   0 comments
Khamis, November 22, 2007
Memalukan pihak polis
Tindakan seorang pegawai polis berpangkat ASP yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada 15 wartawan yang sedang membuat liputan terhadap satu kes pembunuhan di Ladang Kelapa Sawit Bukit Hijau amat memalukan pihak polis yang selama ini terkenal dengan sifat `Mesra, Cepat dan Betul'.

Seharusnya sebagai seorang anggota polis berpangkat ASP yang dilatih secara profesional, dia perlu lebih bersikap terbuka dan memahami tugas dan tanggungjawab wartawan kepada masyarakat yang berhak mengetahui apa sebenarnya berlaku di persekitaran mereka dan di negara berdaulat ini.

Kalaupun dia terdesak bertindak sedemikian rupa, apakah tidak terdetik dalam jiwanya bahawa seluruh dunia menyaksikan perlakuannya setelah di dedahkan dalam media. Nah, sekarang siapa yang malu dan merasa aib, bukan sahaja diri sendiri tetapi seluruh organisasi yang bertanggungjawab menjaga keamanan di negara ini.

Sudah tiba masanya anggota polis diajar bagaimana menghormati orang lain dan berkelakuan sopan di tempat awam!!!

Kejadian

(Petikan daripada: Malaysiakini.com) Sekumpulan 15 wartawan hari ini membuat laporan di Balai Polis Tawar di Baling terhadap seorang pegawai polis berpangkat ASP kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka ketika sedang membuat liputan satu kes bunuh.

Laporan yang dibuat oleh jurukamera sambilan NTV7 Muhammad Ridzuan Osman, 21, di Balai Polis Tawar, Baling itu adalah kerana pegawai berkenaan mengusir wartawan dari tempat kejadian dengan perkataan "anjing".

Pegawai polis berkenaan juga didengar mengarahkan anggotanya melepaskan anjing pengesan dari Unit Anjing (K9) untuk tujuan menghalau wartawan, demikian menurut laporan Bernama.

Kejadian itu berlaku selepas Ketua Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad mengadakan sidang akhbar di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, polis menemui mayat dua lelaki di Ladang Kelapa Sawit Bukit Hijau pada jam 10.43 pagi tadi dan kumpulan wartawan itu yang berada di tempat kejadian sejak pukul 8 pagi tidak dibenar merakamkan gambar walaupun berada di luar kawasan larangan polis.

Ketika jurufoto dan wartawan cuba merakam gambar apabila mayat berkenaan dimasukkan ke dalam kenderaan polis, pegawai polis itu menjerit "jangan masuk anjing" dan "lepaskan anjing".

Wartawan KOSMO, Othman Yahya,45, berkata sepatutnya pegawai berkenan mencontohi Mohd Zakaria yang melayani wakil media dengan baik.

Wartawan akhbar Tamil Nesan, ML Maran, 56, berkata selama bertugas sebagi wartawan inilah pertama kali dia berdepan dengan seorang pegawai polis yang tidak menghormati tugas wartawan.

Pengerusi Kelab Media Kedah Mohd Zahari Morad berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu esok.
posted by . @ 10:29 AM   0 comments
Rabu, November 21, 2007
Perhimpunan Hindraf
Selepas 12 hari `gelombang kuning' iaitu perhimpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berlalu (10 November), sekali lagi Kuala Lumpur akan berdepan dengan pengalaman perhimpunan `haram' besar-besaran untuk kali kedua pada tahun ini. Yang mana perhimpunan kedua ini dianjurkan pula oleh perhimpunan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) pada Ahad ini (25 November) di pejabat Pesuruhjaya Tinggi British.

Perhimpunan ini difahamkan turut diberi nama yang seakan-akan serupa sebagaimana perhimpunan Bersih iaitu `gelombang oren' kerana mereka yang dianggarkan sebanyak 10,000 hadir pada poerhimpunan itu akan berpakaian baju `oren'.

Tujuan perhimpunan Hindraf adalah untuk menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth ll yang dikatakan hadir pada hari tersebut di pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur bagi meraih sokongan saman terhadap kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh selain mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Apa yang mereka tuntut ialah saman sejumlah RM14 trillion atau dengan kata lain AS$1 juta bagi setiap orang India yang kini menetap di Malaysia.

Walaupun permohonan penganjur perhimpunan tersebut, P Waytha Moorthy iaitu Pengerusi Hindraf, ditolak beberapa kali oleh pihak polis, mereka tetap mahu perhimpunan itu berlangsung dengan merujuk kepada Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 20 (kebebasan berhimpun)- Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.
posted by . @ 9:15 AM   0 comments
Sabtu, November 17, 2007
Mungkin tukang sapu itu `sial'
Mungkin masih ada desas-desus pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS)yang disifatkan mereka sebagai tidak bersopan dan pelbagai lagi tanggapan yang kolot.

Bagi aku ia satu perkara baik untuk memotivasikan mereka yang `kureng' sikit usahanya selain memberi peringatan kepada mereka yang bakal menerima anugerah itu untuk memperbaiki prestasi masing-masing.

Tapi kenapa usaha sebegini selalu di salah ertikan. Apa benar kalau penyapu itu dipukul ke badan kita, sial akan mendatang kepada kita? Kalau Khir cakap tanggapan sedemikian kolot saya setuju! Sepatutnya mereka berterima kasih kepada Khir kerana memberi penyapu yang masih baru kalau sebaliknya, lagi isu besar!!!

Berhentilah untuk menjadikan perkara kecil ini satu isu besar. Takut nanti tukang sapu di pejabat anda memberontak dan berpiket sebab tanggapan dan tomahan berhubung penyapu ini akan menyentuh perasaan mereka. Atau boleh sahaja motivasi mereka menurun gara-gara sikap anda yang menganggap penyapu itu sial atau dalam erti kata lain mereka juga `sial' kerana setiap hari memegang penyapu.

Tidakkah nayah sekiranya perkara tersebut berlaku! Jadi, jangan anggap penyapu itu sial. Tanggapan orang tua yang sedemikian sebenarnya bagi menghalang ibubapa memukul anak dengan penyapu. Ini kerana, orang tua-tua dahulu suka pukul anak dengan penyapu jadi bagi mengelakkan ia terus diwarisi oleh ibubapa sekarang mereka mengaitkan penyapu dengan sial.

Teringat masa kecil-kecil dahulu di pukul dengan penyapu oleh mak kerana selalu balik lewat petang. Tapi aku tidaklah mendapat sial malah lebih berjaya kerana penyapu itulah yang memotivasikan aku sehingga berjaya atas inisiatif mak! Teman-teman semua sedarlah bak kata pepatah, ambil yang jernih buang yang keruh.

Dalam perkara ini, niat Khir seharusnya mendapat pujian kerana dia ada usaha untuk memangkinkan semangat orang yang di bawah seliaannya. Cuba lihat mereka yang mengutuk itu apa sumbangan mereka untuk membantu menaikan semangat rakan.seperjuangan mereka. Fikirlah bangsa ku...sampai bila kita berbincang pasal perkara ini. Orang lain sudah berbincang pasal kedatangan dunia baru kita masih pasal penyapu.

**Kalau aku jutawan aku mahu cipta penyapu yang seakan-akan `Nimbus 2000'. Kemudian aku hadiahkan kepada Khir untuk dijadikan hadiah utama dalam anugerah tersebut. Kita lihat siap yang akan mempersoalkannya.

***Sebab penyapu Harry Powter boleh jadi kaya..
posted by . @ 7:31 AM   1 comments
Berita Sinar KL...
Semalam aku sanggup mengorbankan masa tidurku semata-mata mahu meng`online'kan berita yang telah disiarkan dalam Sinar Harian. Sehingga pukul 4am barulah aku berpuas hati dengan hasil kerja yang aku buat. Sungguhpun letih tapi aku puas...Sejujurnya ia tidaklah berapa mengujakan tetapi ia lebih baik daripada tidak ada. Jadi kiranya tidak keberatan dipersilakan ke Sinarkl untuk memberi komen anda...Terima kasih!
posted by . @ 5:26 AM   0 comments
Khamis, November 15, 2007
Atas dasar kemanusiaan...

JALAN KUANTAN – Ibarat `sudah jatuh ditimpa tangga’ begitulah nasib seorang ibu tunggal beranak empat apabila bantuan sara hidup yang diterima dari Jabatan Kebajikan dikurangkan sebanyak 25 peratus hingga menyebabkan dia yang terlantar diatas katil kerana tulang kaki kirinya patah lima hidup dalam kesusahan.

Lebih malang lagi, Habibah Mahmood, 40, yang kini menumpang berteduh bersama anak kecilnya di Pusat Titian Kasih, Jalan Maran beberapa kali diherdik pihak hospital di pusat bandar gara-gara dia tidak mampu menanggung kos pembedahan kakinya yang dianggarkan berjumlah RM4,000 hingga RM6,000 itu sebelum dia dirujuk ke Hospital Klang dua bulan lepas.

Menurut Habibah, dia mengakui kesusahan hidupnya tanpa bantuan orang lain. Ini disebabkan, perbelanjaan untuk menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Klang hampir setiap bulan juga adalah atas ehsan Pusat Titian Kasih. Begitu juga dengan kos persekolahan dan pakaian anak-anaknya.

Katanya, sungguhpun sebelum ini dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan sebanyak RM400 sebulan, ia masih tidak cukup untuk menampung keperluan asas beliau lima beranak. lebih-lebih lagi bantuan itu akan dikurangkan menjadi RM300 oleh Jabatan Kebajikan.

‘‘ Keadaan ini begitu membebankan kami sekeluarga. Kalaulah saya boleh berjalan mungkin ada kelonggaran sedikit untuk saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau paling tidak mencari kerja.

`` Tapi apakan daya, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Sedangkan untuk membuang air saya terpaksa meminta pertolongan anak saya ke tandas,’’ katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Titian Kasih di sini hari ini.

Difahamkan sebelum kejadian malang menimpa dirinya sekeluarga pada bulan Januari tahun ini, Habibah yang berasal dari Muar, Johor ingin menjemput pulang anaknya dari sekolah bagaimanapun dengan tidak semena-mena ketika menunggang motosikal sebuah lori meluru ke arahnya hingga menyebabkan dia koma selama tiga hari di Hospital Muar.

`` Kejadian itu berlaku dengan pantas hingga menyebabkan beberapa inci tulang kaki saya terpaksa dipotong kerana difahamkan ia cedera parah disamping tiga tulang rusuk sebelah kiri patah.

`` Saya datang ke Kuala Lumpur atas nasihat pakar di sana sebelum dirujuk untuk menjalani pembedahan sebanyak lima kali di Hospital Klang,’’ ujarnya.

Oleh yang demikian, Habibah merayu orang ramai supaya menghulurkan bantuan kewangan dan pendidikan kepada anak-anaknya kerana sejak sembilan bulan lepas dia tidak lagi menerima wang yang disalurkan Jabatan Kebajikan disebabkan jabatan itu tidak membenarkan wakil untuk menuntutnya.

Orang ramai yang prihatin dan ingin memberi bantuan atau membuat sebarang pertanyaan boleh menghubungi Habibah Mahmood (019-3089608) atau pengasas Pusat Titian Kasih, Mak Pah (0196455769).
posted by . @ 11:01 AM   0 comments
Rabu, November 14, 2007
Nurin vs Altantuya

Masih teringat bagaimana perasaan ku tatkala pembunuhan kejam Altantuya yang diletupkan dengan bahan peledak. Sebagai manusia yang tiada luar biasanya, aku hanya mampu bersimpati kepada keluarga mangsa. Ketika itu, boleh dikatakan hampir sebulan wajah Altantuya dan lokasi pembunuhannya di Puncak Alam, Shah Alam terpampang di depan mata hingga makan ku sedikit terganggu. Tetapi itu semua sudah berlalu. Khidmatku di Kuala Lumpur sudah tidak diperlukan oleh oleh majikan pertama aku hingga aku dipaksa bertugas ke kawasan Pantai Timur sebelum aku terjun ke bidang yang aku tidak pernah ketahui.


Kini setelah tiga bulan berlalu aku dijodohkan semula dengan bidang yang sememangnya aku minati. Sekali lagi perasaan berkecamuk dalam jiwa aku rasai sebagaimana kes Altantuya apabila kes Nurin Jazilan didedahkan - hingga pelbagai akta dan talian diperkenalkan pihak-pihak tertentu (biasanya hangat-hangat shj!). Ahh..manusia sekarang sudah tidak peduli wanita, kanak-kanak, orang tua malah bayi sekalipun sanggup dijadikan mangsa serakah mereka. Ini yang dikatakan zaman jahiliah moden.

Nurin diabadikan dalam,
http://nurinjazlin.blogspot.com/
Sementara Altantuya di,
http://altantuya.blogspot.com/
posted by . @ 10:40 AM   1 comments
Isnin, November 12, 2007
Bersih ke?
(petikan video dari http://www.rantingsbymm.blogspot.com)10 OKTOBER - Perhimpunan haram yang dianjurkan oleh BERSIH tetap diteruskan walaupun mendapat tentangan pihak kerajaan. Mereka yang telah bertekad hadir dalam perhimpunan itu sanggup menghadapi apa sahaja halangan termasuk berhujan, berpanas dan paling menyakitkan apabila disembur dengan cecair dan gas pemedih mata.

Tekad sebegitu jugalah yang membawa kami sebagai wartawan berani menghadapi apa juga kemungkinan termasuk dirempuh oleh mereka yang berhimpun di beberapa tempat di sekitar ibukota. Namun, dalam keributan dan keperitan tatkala disembur dengan bahan kimia itu, terdetik dalam hati apa benar mereka yang berhimpun di disini berada pada landasan yang betul? Bagi aku, setiap orang berhak meluahkan apa sahaja pendapat yang diungkapkannya. Sama ada orang lain akan menerimanya atau tidak terpulang kerana dia juga berhak untuk melakukan sedemikian.

Otak ku ligat lagi berfikir sambil tangan ku menadah tangan meminta setadah air dari orang awam yang terkena semburan kimia itu. Rupanya untuk menjadi seorang wartawan perlu ada kekuatan dan paling penting tanggungjawab sosial. Lantas aku juga mencemburui beberapa wartawan asing dari Al-Jazeera walaupun di tolak dan dicemuh mereka nekad meneruskan perjuangan. Ini yang aku katakan perjuangan menghunus mata pena, tiada kematian atau darah memancut tetapi muntahan dari dakwat pena itu mampu mengubah dunia.


JALAN TUN PERAK – Dianggarkan hampir 5,000 orang awam yang berkumpul di hadapan Masjid Jamek bertempiaran lari apabila pasukan polis (FRU) yang ditugaskan di kawasan itu bertindak menyembur gas pemedih mata ke arah mereka bagi menghalang perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) di sini hari ini.

Mereka yang mula berkumpul seawal pukul 11 pagi dengan berpakaian baju kuning dan pengikat kepala bertulis cogan kata `bersihkan pilihanraya, kembalikan hak rakyat’ pada mulanya mengadakan solat Zohor secara berjemaah di Masjid Jamek, Kuala Lumpur yang kemudiannya berhimpun di hadapan rumah ibadat tersebut sambil melaungkan `Allahu Akhbar’ beberapa kali.

Namun tatkala mereka mula berarak menuju Dataran Merdeka pada kira-kira pukul 1.40 petang, beberapa jentera polis kemudian menyembur gas pemedih mata hingga menyebabkan mereka yang pada mulanya berjalan secara beriringan lari lintang-pukang selain ada yang tersungkur kerana tidak dapat melihat setelah disembur dengan bahan cecair itu.

Sungguhpun tidak ada rusuhan berlaku, namun ada sesetengah daripada mereka yang berkumpul melaungkan kata-kata kesat kepada anggota polis selain ada yang nekad membaling selipar kerana tidak tahan dengan penangan gas pemedih mata.

Bagaimanapun, dalam keriuhan itu, ada sesetengah daripada orang awam yang pernah mengalami situasi disembur dengan gas pemedih mata itu bermurah hati menghulurkan garam kasar dan air botol kepada mereka yang keletihan dan hampir pitam selepas disembur dengan gas itu.

Menurut Amir Kassim, 39, yang enggan gambarnya disiarkan, garam kasar berupaya mengurang dan menghilangkan kepedihan mata akibat cecair yang disembur oleh pihak polis.

`` Ini berdasarkan pengalaman saya sebelum ini ketika rusuhan semasa zaman kejatuhan Bekas Timbalan Perdana Menteri Anuar Ibrahim dahulu.

`` Sebab itu saya membawa garam kasar ini,’’ katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Selepas perarakan dari Jalan Tun Perak ke Dataran Merdeka berjaya dipatahkan oleh pihak polis, orang awam kemudiannya menggunakan Jalan Masjid India dan berkumpul semula di Jalan Raja Laut berhadapan menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membina pertahanan untuk berhadapan dengan anggota polis.

Namun sekali lagi mereka yang berhimpun atas nama Bersih kucar kacir apabila anggota polis menembak gas pemedih mata ke arah mereka sebelum beberapa orang daripada mereka yang mengenakan pakaian kuning di tahan polis. - SINAR HARIAN



Ini adalah sebahagian daripada tuntutan BERSIH.



Agi idup agi ngelaban



Berkorban apa sahaja



Tetap berkumpul walaupun hujan lebat



Tidak kira siapa, salah tetap salah



Berjuang untuk negara



**Sudah lama aku ingin mencoretkan sesuatu dalam blog aku yang kini dipenuhi sesawang. Hari ini aku baru berpeluang memenuhinya setelah hajat untuk melanggan broadband untuk kegunaan peribadi tercapai. Alhamdulillah.
posted by . @ 7:43 AM   0 comments


Siapa Aku?

Blog aku tulis
Bebaskan Suara
Tinta Lepas
Arkib
Borak

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Aku Baca Blog Si..
Media
Online TV
Komuniti
Artis VS Penulis
Tutorial
Portal
Muat Turun
Artikal
Powered by


Blog saya bernilaiRM11,307,840.
Berapa nilai blog anda?

Web Terbaik Malaysia
Ukhwah.com :: Top Blog My Blog Juice
Powered by IP2Location.com
Locations of visitors to this page Page copy protected against web site content infringement by Copyscape Free Blogger Templates Subscribe to RSS Feed Subscribe in NewsGator Online EatonWeb Blog Directory
Michael Buble Lyrics
Michael Buble Music Codes
Music Codes by SongArea.com